JOHOR BAHRU: Kerajaan dijangka membelanjakan sebanyak RM1.4 bilion secara berfasa dalam tempoh lima tahun bagi memperkasakan program penanaman semula sawit melibatkan pekebun kecil di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030) (RMK13).
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata peruntukan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif dalam memastikan kelestarian industri sawit negara, khususnya dalam usaha menggantikan pokok sawit yang telah tua dan kurang produktif.
“Sesi perbahasan di Parlimen bagi RMK13 akan bermula Isnin. Melaluinya kita akan mendapat banyak maklum balas daripada ahli parlimen. Bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi saya nampak ada satu usaha diambil kerajaan untuk meningkatkan penanaman semula kepada pekebun kecil.
“Dengan penanaman semula, kita boleh mengekalkan kedudukan negara sebagai pengeluar produk sawit kedua terbesar dunia dan meningkatkan eksport kita yang bernilai RM115 bilion pada masa ini. Jika banyak pekebun kecil ini tanam semula, ia akan dapat meningkatkan lagi eksport produk sawit kita,“ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Johor Bahru di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK13 Khamis lepas berkata, sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negara, kerajaan akan terus melonjakkan pembangunan subsektor agrikomoditi meliputi sawit, getah dan koko.
Anwar berkata tumpuan akan diberikan kepada peningkatan produktiviti melalui penggunaan teknologi moden termasuk mekanisasi, automasi dan robotik, RDCI (penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi) dan pensijilan kemampanan. - Bernama