BAGAN SERAI: Sebanyak RM7 juta diperuntukkan bagi projek naik taraf kemudahan infra bagi meminimumkan kesan kemarau yang mampu menjejaskan pengeluaran padi di beberapa kawasan utama di seluruh Malaysia.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata tumpuan akan terarah kepada sistem pengairan yang menjadi sumber utama kepada tanaman berkenaan.
“Ia lebih kepada kerja untuk memastikan saliran-saliran air itu berfungsi dan mampu mengalirkan air ke petak-petak sawah walaupun kuantitinya sedikit berkurangan daripada sediakala.
“Langkah ini juga antara cara kita untuk meminimumkan kesan sampingan yang mungkin berlaku terhadap pendapatan para pesawah, khsusnya ketika musim kemarau,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Jentera dan Peralatan Pertanian Peringkat Negeri Perak 2025 di Dewan Dato’ Zainal Abidin Zin, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan enam kawasan di Semenanjung Malaysia kini berada pada Tahap 1 (berjaga-jaga) selama tiga hari berturut-turut berikutan cuaca panas yang berterusan.
Antara kawasan yang terlibat ialah Larut dan Matang, Kuala Kangsar serta Perak Tengah di Perak; Machang dan Kuala Krai di Kelantan; serta Bandar Baharu di Kedah.
Dalam perkembangan lain, Arthur berkata pihaknya akan mempertingkatkan kerjasama dengan agensi berwajib bagi membendung kegiatan penyeludupan lembu dari Thailand yang dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan makanan negara.
Beliau berkata bagaimanapun, penguatkuasaan terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral itu tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Justeru, sesi libat urus secara menyeluruh antara kerajaan negeri dengan Persekutuan amat diperlukan untuk menyelaras undang-undang supaya tidak berlaku percanggahan yang boleh menggugat biosekuriti makanan negara,“ katanya.
Selain itu, Arthur berkata antara punca yang menyebabkan aktiviti penyeludupan itu berlaku, terutamanya pada musim perayaan, disebabkan permintaan tinggi selain tahap sara diri (SSL) sektor daging lembu masih rendah daripada sasaran ditetapkan.