SHAH ALAM: Kementerian Kerja Raya menyasarkan untuk menyelesaikan semua 16 projek sakit di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara pada tahun ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata projek sakit tersebut dikenal pasti pada tahun lalu daripada keseluruhan projek yang diselia JKR. Antara punca utama ialah masalah kewangan dan pengurusan di pihak kontraktor yang dilantik.
“Projek dikategorikan sebagai sakit jika ia mengalami kelewatan lebih 20 peratus atau melebihi dua bulan dari tarikh yang ditetapkan. Di Selangor, hanya terdapat satu projek sakit, iaitu Klinik Kesihatan Timah Langat di Sepang,“ katanya pada sidang media selepas Lawatan Kerja ke JKR Selangor, di sini hari ini.
Ahmad berkata terdapat 20 projek Persekutuan di Selangor pada tahun ini, termasuk pembinaan bangunan baharu bernilai RM223.73 juta dan tujuh projek penyelenggaraan bangunan bernilai RM28.97 juta. Kesemua projek ini masih berada di peringkat pra-kontrak.
Selain itu, sebanyak 49 projek Persekutuan dengan nilai RM1.097 bilion sedang dalam peringkat pembangunan di bawah JKR Selangor. Projek-projek ini melibatkan pembinaan jalan, bangunan, dan pembaikan cerun.
Sementara itu, mengenai pembaikan infrastruktur di negeri-negeri yang terkesan akibat banjir ketika musim Monsun Timur Laut tahun lalu, Ahmad berkata kerja-kerja tersebut dijangka bermula selewat-lewatnya bulan hadapan.