PUTRAJAYA: Kerajaan telah mula meneroka potensi penggunaan teknologi Penyiaran 5G bagi melengkapi kaedah penyampaian sektor penyiaran negara.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang meneliti dan menguji kebolehlaksanaan serta kesesuaian teknologi baharu muncul itu untuk digunakan di Malaysia.
“MCMC telah mula melakukan test bed session untuk meneliti aspek teknikal melibatkan sama ada isu gangguan spektrum, kesesuaian dalam keadaan tertentu untuk melihat kemampuan bagi teknologi ini,“ katanya.
Beliau menekankan bahawa MCMC sedang menguruskan aspek teknikal bagi memastikan teknologi ini boleh digunakan tanpa mendatangkan gangguan kepada mod penyiaran lain atau perkhidmatan telekomunikasi sedia ada.
Fahmi berkata teknologi Penyiaran 5G dijangka matang dalam tempoh beberapa tahun akan datang memandangkan terdapat negara di Eropah yang akan mula melaksanakannya seawal 2027.
“Jadi, antara 2027 ke 2030 baru kita nampak ia lebih berkembang kerana teknologi ini masih sangat baharu sebab ia melibatkan pemasangan chipset tertentu dalam peranti,“ jelasnya.
Beliau menambah bahawa manfaat sepenuhnya mungkin hanya dapat dinikmati selepas dua hingga tiga generasi telefon bimbit yang akan datang.
Fahmi berkata teknologi itu boleh menambah baik pengalaman penonton bagi sesuatu acara melalui venue casting dan mempercepat penyiaran amaran kecemasan.
“Siaran boleh dibuat dengan sangat pantas dan jelas serta memberikan perspektif yang berbeza dengan menggunakan teknologi yang lebih baharu seperti 3D view dan banyak lagi aplikasi,“ katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan sedang meneliti cara baharu untuk menyampaikan amaran awal yang tidak menggunakan sistem pesanan ringkas.
Teknologi Penyiaran 5G merupakan evolusi terkini dalam bidang telekomunikasi yang membolehkan kandungan disiarkan terus kepada peranti mudah alih tanpa memerlukan sambungan Internet tradisional.
Tidak seperti rangkaian mudah alih konvensional, Penyiaran 5G membolehkan penghantaran isyarat siaran satu-ke-banyak secara serentak dengan kualiti tinggi dan liputan lebih meluas.
Fahmi telah merasmikan Persidangan Penyiaran 5G anjuran MCMC yang menghimpunkan lebih 400 peserta daripada pelbagai sektor industri dan agensi berkepentingan.
Persidangan itu adalah lanjutan kepada Kajian Teknologi Penyiaran Masa Hadapan yang telah dijalankan oleh MCMC sejak 2023.
Kajian tersebut memfokus kepada potensi teknologi baharu seperti Penyiaran 5G dalam memperkasa industri penyiaran tempatan termasuk siaran TV, radio dan penstriman digital. – Bernama