KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuhkan pasukan petugas di bawah Jawatankuasa Semakan Undang-Undang Jenayah (CLRC) untuk mengkaji dasar dan hala tuju hukuman mati di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata keputusan itu dibuat pada 9 Julai lalu.
“Kajian ini akan dilaksanakan secara menyeluruh dan berasaskan bukti dengan melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk keluarga banduan akhir dan keluarga mangsa,“ katanya menerusi jawapan bertulis di laman Parlimen.
Beliau menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai pemansuhan hukuman mati dan moratorium pelaksanaannya.
Azalina menjelaskan, pasukan petugas ditubuhkan berikutan cadangan pelbagai pihak dalam sesi libat urus April 2025.
Kajian mendalam diperlukan kerana masih ada banduan menunggu hukuman mati.
Sesi libat urus melibatkan agensi kerajaan, badan guaman, NGO, dan Pertubuhan Masyarakat Madani (CSO) bagi mendapatkan pandangan mengenai dasar hukuman mati, termasuk aspek perundangan dan hak asasi manusia.
Reformasi hukuman mati bermula sejak 2018 dengan moratorium pelaksanaan.
Melalui Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat 2023, 863 banduan telah dipertimbangkan semula hukuman mereka.
“Bagaimanapun, terdapat 49 banduan yang masih kekal dijatuhkan hukuman mati dan angka ini dijangka meningkat sekiranya tiada penyelesaian dasar yang tuntas dirangka,“ kata Azalina.
Moratorium pelaksanaan hukuman mati masih berkuat kuasa selaras sokongan Malaysia terhadap resolusi UNGA. – Bernama