ALOR SETAR: Siasatan awal polis mendapati kereta yang dinaiki enam sekeluarga dan ditemukan di Sungai Korok, Jitra, dipercayai terbabas terus ke dalam sungai tanpa melibatkan kenderaan lain.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Radzi Abdul Rahim berkata tiada kesan kemalangan atau brek ditemui di lokasi kejadian.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,“ jelas beliau di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat anak mereka berusia antara enam bulan hingga sembilan tahun.
Menurut Mohd Radzi, polis menerima laporan kehilangan keluarga itu pada Sabtu lalu selepas mereka gagal dihubungi selepas keluar dari rumah ahli keluarga di Jitra.
“Pagi ini, orang awam melaporkan melihat kenderaan tenggelam di sungai. Enam mayat ditemui di dalam kereta,“ katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSB untuk bedah siasat. - Bernama