• 2025-07-07 09:04 PM

KUALA LUMPUR: Tuduhan segelintir pihak pembangkang bahawa lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara hanya untuk ‘jalan-jalan’ mencerminkan pemikiran sempit dan gagal memahami kepentingan diplomasi ekonomi.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, menegaskan bahawa setiap lawatan membawa agenda besar negara termasuk menarik pelaburan berkualiti, mengukuhkan kerjasama strategik, dan membuka pasaran baharu untuk syarikat tempatan.

“Ini bukan suka-suka jalan-jalan. Ini diplomasi ekonomi dan geopolitik yang proaktif dan berpandangan jauh,“ katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau menjelaskan bahawa usaha diplomasi ekonomi Perdana Menteri telah membuahkan hasil dengan peningkatan pelaburan sebanyak 14.9 peratus bernilai RM378 bilion serta pertumbuhan perdagangan kepada RM2.88 trilion pada 2024.

“Era pentadbiran sebelum ini gagal memajukan negara. Kini, dunia kembali melihat Malaysia sebagai rakan yang stabil dan berpotensi,“ tambahnya.

Ahmad Farhan turut menasihati pembangkang agar memahami aspirasi rakyat yang lebih bijak menilai pemimpin yang benar-benar bekerja untuk negara.

Perdana Menteri kini mengetuai delegasi ke Itali, Perancis, dan Brazil bagi mengukuhkan hubungan dua hala serta mewakili kepentingan ASEAN dalam isu global seperti AI, iklim, dan kesihatan. - Bernama