• 2025-09-22 02:59 PM

GEORGE TOWN: Kerja-kerja membaiki paip pembetungan pecah milik Indah Water Konsortium (IWK) yang menyebabkan lubang benam di Jalan Burma dijangka mengambil masa lima hari untuk disiapkan sepenuhnya.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk A. Rajendran (gambar) menyatakan pihak IWK bekerjasama dengan MBPP telah bersetuju menjalankan kerja pembaikan pada waktu malam bagi mengurangkan gangguan lalu lintas siang hari.

Dua lorong akan dibuka pada waktu siang manakala satu lorong sahaja beroperasi pada waktu malam untuk memberi ruang kepada kerja pembaikan berperingkat.

Beliau menegaskan langkah ini mengelakkan kesesakan serius terutamanya di kawasan Jalan Penang hingga Jalan Macalister sekiranya hanya satu lorong dibuka sepanjang hari.

Paip pecah tersebut berdiameter 21 inci dengan panjang keseluruhan 13 meter dan mengalami kebocoran serius berdasarkan pemeriksaan awal.

Pihak IWK memutuskan untuk menggantikan keseluruhan paip berkenaan memandangkan kerosakan yang dialami terlalu kritikal.

Proses pengesanan masalah sahaja mengambil masa kira-kira dua hari sebelum keputusan menukar paip dibuat dan kerja baik pulih kini sedang giat dijalankan.

Kos projek pembaikan masih belum dimuktamadkan kerana ia bergantung kepada kaedah pembaikan yang diperlukan kelak.

Walaupun penutupan jalan hanya melibatkan kawasan kira-kira 20 meter, kesan kesesakan boleh berlaku sehingga 200 meter. – Bernama