• 2025-10-12 06:39 PM

PAPAR: Kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah dan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 penting bagi mengukuhkan muafakat kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali berkata permuafakatan itu memberi ruang lebih kukuh untuk Sabah memperjuangkan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau menyatakan pendekatan bekerjasama diambil kerana sebahagian besar tuntutan ini berada di bawah bidang kuasa Persekutuan.

“Kita mempunyai wakil dalam Kerajaan Persekutuan, jadi saya optimis dengan kepimpinan kerajaan ketika ini,“ katanya pada sidang akhbar di Dewan Ulu Sapat hari ini.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup melihat komitmen Perdana Menteri dalam menunaikan tuntutan di bawah MA63.

Beliau menekankan kenaikan kadar Pemberian Khas Sabah yang ditingkatkan kepada RM600 juta menunjukkan komitmen tersebut.

Ketika pentadbiran Warisan, kadar itu hanya meningkat daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta.

“Jumlah ini amat kecil jika dibandingkan dengan tempoh 45 tahun tanpa semakan, apatah lagi amat jauh daripada kadar 40%,“ katanya.

Armizan turut mengesahkan bahawa isu MA63 akan menjadi antara teras manifesto GRS pada PRN Sabah nanti.

Beliau mengingatkan jentera parti supaya memberikan penerangan tepat kepada rakyat agar pembangkang tidak memanipulasi isu 40% hasil dan MA63.

Pada pembentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri mengumumkan kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak dinaikkan kepada RM600 juta.

Kenaikan ini sebagai komitmen Kerajaan MADANI untuk mempercepat pembangunan dua wilayah itu selaras semangat MA63. – Bernama