KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Sabah terus diperkukuh dan sentiasa berada dalam keadaan baik selepas Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang.
Anwar berkata hal ini penting bagi memastikan Kerajaan MADANI berupaya membantu Sabah mempercepat pelaksanaan pembangunan negeri termasuk dalam aspek infrastruktur jalan raya dan prasarana sekolah serta hospital yang lebih baik demi manfaat rakyat secara keseluruhan.
Beliau menegaskan hubungan kerajaan Persekutuan dan negeri mesti baik supaya lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan untuk faedah rakyat.
“Apabila ada kuasa, kita mesti lakukan sebaik mungkin untuk negara dan rakyat,” katanya.
Anwar menyatakan impiannya adalah untuk rakyat bersatu dan memastikan anak-anak sama ada di Kuala Lumpur mahupun di Kelantan atau Keningau, Kota Marudu, Inanam dan semua kawasan di Sabah merasakan mereka ada peluang dan harapan di dalam negara Malaysia.
Beliau yang juga Presiden PKR berkata demikian ketika berucap pada Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan bersempena dengan 27 Tahun Reformasi di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni di Inanam.
Anwar menegaskan komitmen kerajaan Persekutuan untuk memenuhi tuntutan Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Beliau menyatakan banyak perkara dalam MA63 telah ditunaikan dan sedang dibincangkan untuk direalisasikan selepas Kerajaan MADANI menerajui pentadbiran negara.
“Dalam mesyuarat di Kuching, Sarawak baru-baru ini, saya meluluskan untuk menambah bilangan kerusi bagi Sabah dan Sarawak,” katanya semasa berucap pada Konvensyen Kerjasama Politik Pakatan Harapan dan Gabungan Rakyat Sabah di sini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan Sabah akan mendapat berita gembira dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober ini.
“Walaupun saya anak Pulau Pinang, peruntukan untuk negeri Sabah adalah yang tertinggi,” katanya.
Peruntukan besar itu bertujuan menyelesaikan projek pembangunan yang belum selesai dan sedang dalam proses pembinaan seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya.
Perdana Menteri mahu hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan semua negeri termasuk Sabah diperkukuh bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih efisien.
Beliau juga yakin Pakatan Harapan akan menjadi penentu kepada pembentukan pentadbiran kerajaan negeri Sabah selepas pilihan raya negeri akan datang.
Anwar berkata PH kekal dengan pendirian untuk meneruskan kerjasama politik dengan Gabungan Rakyat Sabah dan Barisan Nasional pada PRN Sabah akan datang.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud. – Bernama