KUALA LUMPUR: Penglibatan Malaysia dalam Ekspo Dunia Osaka 2025 termasuk lawatan ke Sanda Shokuniku Kosha iaitu pusat penyembelihan halal di Kita-ku, Kobe City, Hyogo, Jepun, memberi peluang untuk memahami dengan lebih dekat amalan terbaik industri daging halal negara itu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata pusat penyembelihan terkenal dengan pengeluaran Halal Kobe Beef itu merupakan satu-satunya fasiliti halal diiktiraf di wilayah tersebut.

“Lawatan ini memberi peluang kepada kita untuk memahami lebih dekat amalan terbaik industri daging halal Jepun daripada aspek pemprosesan, kebersihan, sistem pengesanan hingga penggunaan teknologi moden yang menepati keperluan keselamatan makanan,” katanya.

Mohamad berkata kerjasama strategik seperti itu amat penting dalam usaha mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab halal global.

Selain itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pengurusan Sanda Shokuniku Kosha atas komitmen tinggi mereka mematuhi piawaian halal antarabangsa dan memperkukuh ekosistem halal serantau.

Mohamad berkata kementeriannya akan terus memberi penekanan kepada pemerkasaan industri ruminan tahun ini, selaras dengan pendekatan Malaysia MADANI yang menekankan nilai-nilai mampan, sejahtera dan berdaya cipta.

“Kita ingin melihat lebih banyak penglibatan anak tempatan dalam sektor ini, dengan teknologi moden dan jaminan halal sebagai asas kejayaan. Kita mahu rakyat Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna, tetapi juga peneraju dalam rantaian nilai halal global,” katanya.