KULIM: Reman seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian dua beradik termakan keropok beracun baru-baru ini, disambung dua hari lagi.

Perintah reman ke atas pekebun berusia 33 tahun itu dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Mirza Mohamad selepas permohonan pihak polis.

Lelaki berkenaan sebelum ini direman enam hari bermula 11 Julai lepas.

Siasatan kes dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai berhubung benda beracun.

Dalam kejadian pada 7 Julai, Muhammad Aqil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan adiknya Muhammas Luth Syauqi, 2, kritikal selepas termakan keropok yang dicampur racun tikus di Kampung Padang Ubi, Kulim.

Makanan ringan itu dikatakan diletakkan pada pagar sebuah kebun oleh pemilik kebun berkenaan, bertujuan memerangkap monyet yang mengganggu tanaman di situ.

Setelah empat hari menerima rawatan, Muhammad Aqil Syauqi menghembus nafas terakhir kira-kira 8.30 pagi pada Rabu di Hospital Pulau Pinang, sementara adiknya meninggal dunia pada 1.20 tengah hari, dua hari kemudian, di hospital sama.