Polis kerah lebih 300 anggota kawal perlawanan Piala FA

KUALA TERENGGANU: Seramai 351 anggota polis ditugaskan bagi mengawal perlawanan separuh akhir Piala FA antara Terengganu FC (TFC) dengan Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli dalam kenyataan berkata pemeriksaan ketat akan dijalankan di pintu masuk dan dalam kawasan stadium bagi memastikan penonton tidak membawa masuk barang terlarang termasuk kain rentang atau sepanduk yang boleh mencetuskan provokasi serta hasutan.

Beliau berkata penonton diingatkan supaya menzahirkan sokongan kepada pasukan masing-masing dengan cara yang betul dan semangat kesukanan yang tinggi.

“Antara barangan yang dilarang ialah mercun, bunga api, suar, topi keledar, botol air, botol kaca, tin minuman, laser, mancis, pemetik api dan senjata tajam.

“Selain anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), kita turut mendapat bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU),“ katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata sebanyak 30,000 keping tiket perlawanan mula dijual kepada orang ramai mulai 14 Julai lepas.

Bagaimanapun beliau berkata untuk 14 hingga 16 Julai, tiket akan dijual secara dalam talian kepada mereka yang memiliki kad ahli TFC.

“Sebanyak 15,000 tiket akan dijual secara dalam talian manakala 15,000 lagi melibatkan jualan fizikal. Untuk mereka yang bukan ahli TFC, pembelian tiket secara dalam talian boleh dibuat bermula 17 Julai sementara tiket fizikal bermula 18 Julai,“ katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu Mohd Syahrizan menasihati penonton supaya sentiasa mematuhi peraturan dan arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli/fotoBERNAMA