ISKANDAR PUTERI: Polis menahan 13 individu termasuk seorang ahli keluarga mangsa yang dipercayai terbabit dalam kejadian melarikan dan menculik seorang ahli perniagaan pada 13 Okt lepas.

Ketua Polis Johor Datuk CP M Kumar berkata kesemua tangkapan melibatkan lapan lelaki dan dua wanita tempatan, serta warga asing membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berumur antara 23 hingga 58 tahun.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian terbabit pada 13 Okt yang mendakwa seorang lelaki berusia 59 tahun diculik di hadapan rumahnya di Johor Bahru.

“Susulan laporan polis itu, satu pasukan petugas ditubuhkan bagi menyiasat kes berkenaan melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bukit Aman,” katanya pada sidang media Program Community Policing Kontinjen Johor bersempena dengan Hari Deepavali Tahun 2024 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.

Kumar berkata beberapa siri operasi dan serbuan telah dilakukan di beberapa kawasan di sekitar negeri ini termasuk Kota Tinggi bermula pukul 9 malam semalam hingga awal pagi ini sehingga tertangkapnya 13 suspek berkenaan.

“Selain tangkapan, turut dirampas antaranya telefon bimbit dan kad ATM. Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dalam kejadian terbabit,” katanya dan menambah empat daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah.

Beliau berkata 10 suspek telah direman selama tujuh hari hingga 29 Okt manakala tiga lagi akan dimohon reman esok di Mahkamah Majistret Johor Bahru dan kes disiasat mengikut Akta Penculikan 1961.

“Siasatan masih lagi berjalan, jadi saya meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu kerana akan mengganggu siasatan polis.

“Tentang motif penculikan ia masih dalam siasatan dan sama ada tangkapan baharu akan dibuat atau tidak kita perlu tunggu,” katanya.

Sabtu lepas, Kumar dalam satu kenyataan mengesahkan menerima satu laporan polis pada 7.20 malam berkaitan seorang lelaki dilarikan beberapa individu menggunakan sebuah kereta.

Beliau berkata laporan itu diterima sejurus mangsa dilepaskan pada hari yang sama.