KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 23 Mei untuk keputusan permohonan Datuk Wan Saiful Wan Jan bagi mendapatkan penyata bank sebuah syarikat berhubung kes pengubahan wang haram dan rasuah projek Jana Wibawa yang dihadapi bekas Ketua Penerangan Bersatu itu.
Hakim Rosli Ahmad menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful selaku pemohon dan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusof Khan.
Terdahulu, Amer Hamzah berkata permohonan bagi mendapatkan dokumen itu adalah relevan bagi pihak pembelaan menyangkal naratif pendakwaan selain menyokong dan membuktikan naratif pembelaan.
Bagaimanapun, Farah Ezlin membantah permohonan itu dan memaklumkan penyata bank dipohon pihak pembelaan iaitu dari Januari 2021 adalah tidak relevan kerana penyata bank pada tahun terbabit tiada kena mengena dengan pertuduhan serta pemohon.
“Selain itu, dalam notis permohonan hanya menyatakan penyata bank itu berhubung dengan pertuduhan, namun tidak dinyatakan ia penting bagi pembelaan pemohon. Perkara itu hanya dinyatakan dalam afidavit dan ia tidak mencukupi kerana afidavit tidak boleh menggantikan apa yang kurang dalam notis permohonan,” katanya.
Pada 16 Jan lepas, Wan Saiful memfailkan permohonan itu dengan menamakan pendakwa raya, Eksekutif Maybank Cawangan Taman Tun Dr Ismail Raja Muhammad Aiman Raja Sa’adi yang juga saksi pendakwaan ke-15 dan Maybank Islamic Berhad sebagai responden pertama hingga ketiga.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu memohon mahkamah mengeluarkan perintah kepada ketiga-tiga responden berkenaan untuk memberi tiga penyata bank Maybank atas nama Nepturis Sdn Bhd bagi tempoh Januari 2021 hingga Disember 2023 kepada pemohon, sama ada dalam bentuk fizikal atau peranti storan digital.
Wan Saiful menerusi afidavit sokongannya berkata semasa Raja Muhammad Aiman memberi keterangan di mahkamah pada 19 dan 20 Sept 2024, beliau telah merujuk dan mengesahkan beberapa dokumen antaranya penyata bank Maybank atas nama Nepturis, namun penyata bank yang diberikan kepada pihak pembelaan hanya dari Julai 2022 hingga Disember 2022 dan Januari 2023 hingga Jun 2023.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah permohonan itu kerana tiga penyata bank akaun milik Nepturis Sdn Bhd yang dipohon Wan Saiful bukan satu keperluan.
Pada prosiding hari ini, mahkamah membenarkan permohonan Wan Saiful untuk mendapatkan sementara pasport antarabangsanya dari 21 April hingga 27 Mei atas urusan kerja di Australia dan Singapura selepas permohonan itu tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.
Wan Saiful, 49, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.
Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat setuju terima bagi projek terbabit.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku di sini antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.
Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu, antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku, antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022.