KUALA LUMPUR: Kes tuntutan harta sepencarian lebih RM2 bilion yang difailkan oleh balu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail, terhadap empat anak dan ibu mentuanya hari ini telah diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Empat anak Kalsom iaitu Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla serta ibu mentuanya, Aminah Abdullah, adalah defendan pertama hingga kelima.

Peguam Syarie Nur Hidayah A Bakar, yang mewakili Aminah, bagaimanapun berkata terma penyelesaian tidak dapat didedahkan kepada umum.

“Alhamdulillah, hari ini pihak-pihak telah berjumpa untuk kami bermesyuarat lebih kurang tiga jam pada pagi ini dan semua telah mencapai kata sepakat bagi penyelesaian kes harta sepencarian dan pusaka Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis. Hari ini juga telah direkodkan dan diendorse sebagai perintah mahkamah.

“Semalam telah berjalan perbicaraan untuk keterangan pihak plaintif namun setelah pihak-pihak berbincang, mereka telah mencapai kata sepakat untuk mengadakan perbincangan semua pihak hari ini. Alhamdulilah... hari ini kes diselesaikan cara baik dengan persetujuan bersama,“ katanya kepada pemberita selepas prosiding tertutup di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz.

Kalsom, 68, diwakili peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia dan Makkah serta beberapa syarikat pada Oktober 2018 dengan menamakan empat anak serta ibu mentuanya sebagai defendan.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pengawal peribadi Jamaludin iaitu Razakan Seran serta seorang wanita dikenali sebagai Aidana Baizieva.