Your Title

GEORGE TOWN: Aspek keselamatan dan pengurusan trafik sepanjang sambutan Thaipusam di Pulau Pinang dalam keadaan terkawal setakat pagi tadi, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad.

Beliau berkata sebanyak 1,500 anggota ditempatkan bagi tempoh tiga hari perayaan itu berlangsung bermula semalam bagi memastikan kelancaran dan keselamatan orang awam.

Setakat ini, katanya tiada sebarang insiden mahupun laporan diterima pihaknya berkaitan kes-kes jenayah, namun kawalan keselamatan sentiasa diperketat sebagai langkah pencegahan.

“Kehadiran sejak semalam dianggarkan mencecah 200,000 orang dan keadaan ini dijangka memuncak menjelang tengah hari hingga lewat malam nanti, pengunjung akan bertambah.

“Justeru, kita minta pengunjung untuk mematuhi peraturan supaya perayaan ini berjalan dengan lancar serta dapat dirasai dan dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan program Community Policing Ketua Polis Pulau Pinang bersempena dengan Sambutan Thaipusam 2025 di Jalan Brown, Kebun Bunga di sini hari ini.

Terdahulu, Hamzah bersama Timbalannnya Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin meluangkan masa hampir sejam meninjau sambutan Thaipusam dan melawat Thaneer Panthal atau gerai yang berhias indah di sepanjang laluan menuju ke kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani selain beramah mesra dengan penganut Hindu yang hadir.

Beliau turut berkesempatan mengagihkan minuman kepada pengunjung yang singgah di Thaneer Panthal Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, seorang penganut M. Shamala, 32, ketika ditemui memuji tahap kawalan keselamatan oleh pihak polis dalam memastikan ketenteram awam tidak tergugat.

“Kawalan polis amat baik sekali. Kehadiran ramai anggota yang berkawal di setiap tempat membuatkan saya rasa lebih selamat walaupun keadaan di sini sesak dengan pengunjung.

“Saya datang ke sini sejak berusia 12 tahun, sebelum ini banyak dengar kes jenayah seperti ragut, curi, anak hilang terutama di kuil, tetapi setakat ini tidak ada lagi,” katanya yang merupakan ketua cef di sebuah hotel di sini.

Ribuan penganut Hindu di negeri ini meraikan Thaipusam sejak semalam dengan perarakan dua pedati, iaitu pedati emas ke Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani di Jalan Kebun Bunga dan pedati perak ke Kuil Nattukottai Chettiar di Jalan Air Terjun.

Hari ini, mereka membawa pelbagai jenis kavadi ke kuil itu bagi membayar nazar dan mendapat restu daripada Dewa Murugan.