PUTRAJAYA: Kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla akan tiba di tanah air malam esok.
Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata mereka akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 pada pukul 9.45 malam.
Beliau memaklumkan SNCC menjemput semua penyokong dan media ke Majlis Sambutan kepulangan wira Sumud Nusantara Malaysia.
Pada Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF telah ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas di perairan Zon Merah Laut Mediterranean.
Mereka kemudian dibawa ke pelabuhan Ashdod di Israel sebelum dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon pada 6.45 petang waktu Malaysia semalam.
Kesemua aktivis tiba di Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Malaysia.
Antara rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio.
Turut terlibat ialah Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad dari kapal Grande Blu serta penyanyi Zizi Kirana dari kapal Huga.
Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil pula menaiki kapal Alma manakala Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli dari kapal Sirius.
Razali Awang menaiki kapal Inana manakala pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau Ardell Aryana dari kapal Mikeno.
PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, dan Norazman Ishak menaiki kapal Estrella.
Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah dari kapal Fair Lady serta Muhammad Hareez Adzrami, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif dari kapal Free Willy turut ditahan. – Bernama