GEORGE TOWN: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bertekad memperkukuh pembangunan modal insan negara dengan menyediakan kursus kemahiran yang selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, kementerian sedang meneliti semula sukatan pelajaran bagi kursus kemahiran di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah seliaannya untuk memasukkan elemen kecerdasan buatan (AI).
“Kita akan melihat kepada sukatan mata pelajaran yang ada untuk memasukkan sekurang-kurangnya kemahiran asas dalam pengendalian teknologi AI.
Ini supaya pelatih kita apabila keluar nanti walaupun bukan bekerja dalam bidang teknologi secara langsung, sekurang-kurangnya mereka ada pengetahuan asas sebab AI ini merangkumi semua sektor pekerjaan dan kehidupan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pembukaan Persidangan ARTDO ke-52 di sini.
Sim menekankan bahawa terdapat 33 Institut Latihan Perindustrian (ILP) di bawah KESUMA yang akan diperkukuh dengan kerjasama institusi TVET lain dan penyedia latihan swasta.
Beliau juga menyatakan hasrat untuk memperluas kursus jangka pendek dan program literasi AI kepada golongan seperti suri rumah bagi memastikan masyarakat lebih bersedia menghadapi perubahan teknologi.
“Pembangunan teknologi seperti AI, digitalisasi, dan ekonomi hijau memberi kesan besar kepada pasaran kerja.
Kita perlu pastikan pekerja kita kekal relevan,” jelasnya.
Sebagai langkah proaktif, KESUMA telah menyiapkan laporan pada hujung tahun lalu yang mengkaji impak teknologi masa depan terhadap tenaga kerja Malaysia.
Laporan ini menjadi panduan penting dalam merangka dasar latihan kemahiran.
Selain itu, portal MyMahir diperkenalkan bagi memadankan keperluan kemahiran baharu dengan kursus latihan yang sesuai.
“Portal ini membantu rakyat Malaysia, pembuat dasar, dan PKS dalam merancang persiapan menghadapi cabaran teknologi,” tambah Sim. – Bernama