PUTRAJAYA: Perkhidmatan Awam dibelenggu tiga cabaran utama yang semakin menebal dan memerlukan penambahbaikan perlu dilakukan dengan segera, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata daripada pemerhatian peribadinya, cabaran pertama ialah mentaliti berkerja secara in-silo dan birokrasi yang masih kuat mengakar dan berumbi, dalam sesetengah agensi kerajaan.

Shamsul Azri berkata ia berpunca daripada wujudnya perasaan superior atau rasa diri berkuasa dan lebih hebat daripada orang lain dalam kalangan petugas agensi, sehingga memikirkan bahawa kuasa mutlak hanya milik agensi itu.

“Jadi, nak luluskan satu-satu projek pembangunan itu, kena lalu proses yang melibatkan semua kementerian dan agensi ini. Betul, masing-masing ada fungsi dan peranannya.

“Namun, sewajarnya itu bukan alasan untuk kita mengambil masa yang lama dan panjang untuk memproses satu-satu projek, sehingga menjadi asbab projek tersebut tidak dapat disiapkan ikut tempoh yang dirancang.... Akhirnya, ekspektasi pihak berkepentingan dan pelanggan tidak dapat dipenuhi,” katanya ketika berucap pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN, di sini hari ini.

Shamsul Azri berkata cabaran kedua ialah penyampaian perkhidmatan yang masih menggunakan kaedah lama, kurang efektif dan tidak berdaya saing.

Beliau berkata cabaran itu selari dengan dapatan laporan Biro Pengaduan Awam, yang menyatakan bahawa kebanyakan aduan yang diterima pada tahun ini berkaitan kegagalan memenuhi ekspektasi pelanggan, aduan mengenai kemudahan dan infrastruktur awam serta penguatkuasaan yang lemah.

“Kita bercakap tentang teknologi yang meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, tetapi dalam masa yang sama masih terdapat juga rungutan daripada pelanggan seperti ‘Kerajaan ini lambat’, ‘Kerajaan ini tak prihatin’ dan ‘kaunter ada sepuluh, yang buka hanya satu’ dan macam-macam lagi,” katanya.

Shamsul Azri berkata untuk menangani cabaran itu, beliau percaya setiap ketua jabatan perlu mengambil pendekatan Management by Walking Around (MBWA), bagi memastikan perkhidmatan kita kepada rakyat sentiasa cekap, pantas dan profesional.

KSN berkata cabaran ketiga ialah isu integriti penjawat awam, dengan tidak menafikan masih wujud Little Napoleon dalam organisasi kerajaan.

Beliau berkata perkara itu berdasarkan statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sejumlah 408 tangkapan melibatkan penjawat awam dilakukan berbanding 318 tangkapan bagi tempoh sama tahun lepas.

“Kita juga mudah berasa selesa dengan apa yang kita sedia ada. Complacency. Dan ini saya percaya ia terjadi kerana kurangnya penghayatan terhadap nilai-nilai yang menunjangi kita sebagai seorang insan seperti rukun MADANI yang digagaskan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), yang saya perhatikan masih lagi lemah,” katanya.

Shamsul Azri berkata untuk mendepani cabaran-cabaran itu, penambahbaikan segera perlu dilakukan seiring hasrat untuk melaksanakan reformasi perkhidmatan awam secara tuntas.

“Ini adalah kritikal agar segala inisiatif yang diketengahkan betul-betul berkualiti dan benar-benar menyentuh denyut nadi rakyat,” katanya.

Shamsul Azri berkata agenda reformasi akan dilaksanakan menggunakan lima pendekatan iaitu membangunkan kerjasama strategik dan sinergi antara agensi terlibat, perkongsian sumber secara optimum, meningkatkan penyampaian perkhidmatan, mengetengahkan inisiatif yang memberikan pulangan kepada nilai wang dilaburkan; serta memastikan setiap inisiatif dilaksanakan menyumbang secara langsung kepada matlamat ekonomi MADANI.

Mengulas pendekatan perkongsian sumber secara optimum, beliau berkata inisiatif itu berupaya memecahkan tembok silo antara pelbagai entiti.

“Perkongsian maklumat dan komunikasi antara jabatan hendaklah dipermudah agar dapat mempercepat pelaksanaan reformasi yang kita impikan,” katanya.

Beliau berkata Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam itu juga diperkasakan dengan dua pemboleh daya utama yang akan membantu memeta kejayaan reformasi perkhidmatan awam iaitu pemantauan, pengukuran dan penilaian prestasi, dan komunikasi total.

Di bawah pemboleh daya utama pertama, Shamsul Azri berharap jawatankuasa memantau seperti Majlis Tindakan Malaysia MADANI (MTMM), Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR), Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan Jawatankuasa Pemantauan Penyampaian Perkhidmatan (JP4) dapat memperkukuh elemen agenda yang digagaskan.

Shamsul Azri turut mencadangkan supaya diwujudkan satu bentuk penganugerahan, pengiktirafan atau penghargaan sebagai pemangkin kepada kementerian serta penjawat awam dalam meningkatkan kecekapan dan melaksanakan penambahbaikan.

“Namakanlah seumpama Anugerah Kecemerlangan Reformasi Perkhidmatan Awam atau apa-apa nama bersesuaian. Saya yakin ini akan menyuntik lagi semangat untuk terus komited meningkatkan prestasi dan penyampaian perkhidmatan, memenuhi jangkaan rakyat, dan membina masa depan lebih baik bagi rakyat Malaysia,” katanya.

Menjelaskan mengenai komunikasi total, Shamsul Azri menganjurkan kerajaan melakukan penambahbaikan kepada aspek hebahan dengan mewujudkan pemberitahuan strategik dengan memanfaatkan pelbagai platform khususnya media sosial.

“Dalam membuat sesuatu perancangan, sering diabaikan mengenai aspek hebahan atau bahasa mudahnya ‘tukang canang’ bahawa kita telah buat inisiatif, kita telah tambah baik perkhidmatan, kita telah respons kepada aduan dan sebagainya.

“Di negara kita ini, jumlah pengguna media sosial yang aktif dianggarkan mencecah 26.8 juta. Maknanya, kita ada ruang dan peluang sama banyak untuk menghebahkan apa yang perkhidmatan awam dan juga kerajaan laksanakan,” katanya.