Your Title

TAWAU: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi fokus untuk membangunkan infrastruktur jalan, air dan elektrik di kawasan luar bandar serta pedalaman Sabah bagi memastikan kehidupan lebih selesa kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pada masa ini Sabah memerlukan lebih banyak pembangunan infrastruktur, dan perancangan itu mampu direalisasikan hasil hubungan baik Kerajaan MADANI dan negeri.

Beliau berkata apabila Lebuh Raya Pan Borneo Sabah siap sepenuhnya kelak, lebih banyak jalan perhubungan ke luar bandar dan pedalaman serta pekan kecil perlu dibangunkan bagi menghubungkan penduduk seterusnya menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri.

“Kita sedar bahawa masih terdapat banyak kawasan memerlukan pembinaan dan naik taraf jalan raya untuk kemudahan penduduk setempat. Kerjasama dengan kerajaan negeri akan dipergiatkan untuk memastikan infrastruktur jalan di kawasan desa terus diberi keutamaan.

“Soal infrastruktur kemudahan awam kepada masyarakat dan rakyat khususnya B40 akan terus menjadi keutamaan Kerajaan MADANI terutama melalui KKDW untuk Sabah,” katanya ketika menutup Program Sentuhan Kasih Desa@Tawau 2025 KKDW di Kompleks Sukan Tawau hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Mengenai isu bekalan air, Ahmad Zahid berkata walaupun ia di bawah tanggungjawab kerajaan negeri, KKDW akan memainkan peranan bersama dalam menyalurkan bekalan air bersih dari paip utama ke kawasan kampung dan rumah penduduk.

“Bekalan air itu sudah menjadi tanggungjawab mana-mana negeri, tetapi bekalan dari paip utama ke kawasan kampung dan rumah itu tanggungjawab KKDW. Bagi kawasan pedalaman yang tidak mempunyai akses kepada paip utama, kita akan menggunakan kaedah graviti dan telaga tiub,“ katanya.

Beliau berkata Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) merupakan antara usaha penting KKDW ke arah itu dan kementerian telah mengenal pasti beberapa kawasan kritikal yang memerlukan perhatian segera dalam aspek bekalan air bersih.

Timbalan Perdana Menteri berkata KKDW juga sedang melaksanakan penyelesaian tuntas dan berkesan untuk masalah bekalan elektrik ke kawasan luar bandar dan pedalaman yang tidak dapat disambungkan dengan grid elektrik negeri melalui pelaksanaan Program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).

Ahmad Zahid berkata BELB antara lain menggunakan kaedah penjanaan elektrik menggunakan solar di kawasan tidak dapat dihubungkan dengan grid elektrik, dan tenaga itu disimpan untuk kegunaan penduduk di kawasan luar bandar serta pedalaman dengan menggunakan bateri.

Bagaimanapun beliau berkata kaedah itu berdepan sedikit kekangan kerana teknologi bateri itu sebelum ini mempunyai jangka hayat tidak sesuai, justeru KKDW bertindak tuntas untuk menyelesaikan masalah tersebut serta memperoleh teknologi bateri baharu.

“Maka perundingan dibuat tender terbuka dengan syarikat pembekal cari bateri yang dapat bertahan lebih lama, kerana masalah sebelum ini ialah bateri berkenaan (bertahan) sampai satu dua tahun sahaja, dengan perkembangan teknologi, KKDW berusaha tingkat jangka hayat bateri (kepada) lima tahun untuk penduduk negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu beliau berkata peruntukan yang diterima oleh Sabah melalui KKDW merupakan belanjawan pembangunan tertinggi di Malaysia, mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam membangunkan negeri berkenaan.

“Ia memperlihatkan keprihatinan Kerajaan MADANI kepada negeri dan rakyat Sabah terus menjadi keutamaan kerajaan ini,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Okt tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Sabah menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM6.7 bilion.