PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan lima dokumen utama yang akan dirujuk berhubung penyakit talasemia merangkumi aspek diagnosis, rawatan, pencegahan dan juga penekanan terhadap kaunseling genetik.

Dokumen berkenaan ialah Pelan Strategik dan Pelan Tindakan Program Kawalan dan Pencegahan Talasemia Kebanggsaan 2024-2030, Clinical Practise Guidelines Management of Thalassaemia (Second Edition), Annual Report of the Malaysia Thalassaemia Registry 2022-2023, Garis Panduan Program Saringan Talasemia Kebangsaan di Penjagaan Kesihatan Primer, serta Laporan dan Pemetaan Pembawa Talasemia bagi Program Saringan Talasemia Murid Tingkatan 4, 2017-2021.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kesemua dokumen yang dilancarkan semalam itu bukti komitmen KKM dalam memperkasakan pencegahan dan rawatan berkait talasemia.

“Talasemia sejenis penyakit keturunan dan perjalanan rawatan penyakit ini adalah panjang dan kompleks serta boleh mencecah kos rawatan hingga RM2.74 juta.

“Namun, yang paling penting ia penyakit yang boleh dicegah. Pelaburan dalam saringan awal, pendidikan kesihatan genetik dan khidmat kaunseling bukan sekadar memenuhi keperluan dasar, tetapi merupakan strategi penjimatan dan pelaburan sosial untuk kesejahteraan generasi masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata berdasarkan rekod seramai 212 pesakit talasemia berjaya sembuh melalui pemindahan sum-sum tulang setakat ini.

“Selain pemindahan sum-sum tulang, strategi pencegahan yang dilakukan secara berterusan turut menjadi penyumbang kepada penurunan kelahiran baharu penghidap talasemia, iaitu menurun sebanyak 49 peratus dalam tempoh masa 12 tahun (2009-2021),” kata Dzulkefly.