• 2025-10-04 04:07 PM

SERDANG: Kementerian Kesihatan Malaysia bersedia menawarkan pemeriksaan kesihatan menyeluruh serta rawatan susulan kepada sukarelawan Global Sumud Flotilla yang telah kembali ke tanah air selepas dibawa pulang dari Greece.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pemeriksaan berkenaan turut merangkumi sokongan psikososial dan mental yang akan dilaksanakan melalui Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan secara berterusan.

Beliau berkata KKM akan memastikan sukarelawan yang kembali ini mendapat pemeriksaan menyeluruh, rawatan jika perlu, serta sokongan psikososial dan mental.

Perkhidmatan ini akan disediakan secara menyeluruh dan berterusan melalui NCEMH.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Jantung Jelajah Wira MADANI 2025 di Hospital Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Beliau berkata KKM sentiasa peka dengan perkembangan semasa misi berkenaan dan akan terus memantau keadaan semua delegasi yang terlibat.

Kita juga mendoakan agar baki sukarelawan yang masih ditahan dibebaskan segera.

Solat hajat telah diadakan dan KKM bersama pasukan berkaitan sentiasa bersiap siaga untuk memberikan perkhidmatan yang diperlukan.

Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara sebelum ini mengesahkan enam sukarelawan misi GSF iaitu lima wakil Malaysia dan seorang wakil Brunei disahkan selamat tiba di tanah air kelmarin.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim dilapor berkata mereka akan berada di SNCC bagi meneruskan penugasan bersama pasukan operasi termasuk menyalurkan maklumat terkini berkaitan misi GSF.

Enam individu berkenaan ialah Abdul Rahim Azhari, Muhammad Khairin Afiq Mohd Subkhi, Ahmad Safuan Ujar, Mohd Asri Tuan Hussein, Nur Ilham Fansuri Zainal Rashid serta seorang sukarelawan Brunei Rezahmaisalamah Md Yusof.

Selain itu dua lagi wakil Malaysia kini berada di Amman Jordan untuk membantu pasukan perundangan yang sedang menguruskan isu tahanan.

Manakala baki peserta misi yang ditahan pihak berkuasa Israel termasuk beberapa figura awam dan aktivis akan dibawa pulang melalui sebuah negara ketiga sebagaimana disahkan Kementerian Luar.

Antara mereka ialah Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah, Nurfarahin Romli, artis Zizi Kirana, serta beberapa individu lain yang berada di kapal berasingan ketika misi dijalankan.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis. – Bernama