MEDAN: Kolaborasi antarabangsa memainkan peranan penting dalam usaha memperkasakan golongan asnaf, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah bahawa pertukaran idea, pengalaman dan amalan terbaik daripada pelbagai latar belakang dapat memperkayakan pendekatan dalam pengurusan kebajikan.
“Kolaborasi antarabangsa membuka ruang yang lebih luas untuk perkongsian sumber dari segi ilmu, teknologi, modal dan jaringan,” titah baginda semasa merasmikan International Conference On Holistic Opportunities For Poverty Empowerment (ICOHOPE) 2025.
Tuanku Syed Faizuddin Putra menekankan tiada satu negara pun yang memiliki kekuatan menyeluruh dalam semua aspek pengurusan.
Baginda bertitah sebarang kelemahan dapat ditampung dengan kekuatan pihak lain melalui sinergi dan kerjasama strategik.
Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat bersama ke majlis tersebut.
Baginda menegaskan usaha meningkatkan taraf hidup golongan asnaf merupakan isu yang merentasi sempadan geografi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra mencadangkan kejayaan sesebuah negara dalam pengurusan zakat boleh dijadikan rujukan amalan terbaik oleh negara lain.
Mengenai persidangan itu, baginda berharap ia dapat diterjemahkan kepada tindakan bersepadu dan berterusan.
“Marilah kita jadikan persidangan ini sebagai titik tolak kepada lahirnya dasar-dasar yang lebih inklusif,” titah baginda.
Raja Muda Perlis menyeru semua peserta persidangan agar terus komited dalam perjuangan pemerkasaan asnaf.
Persidangan tiga hari itu dianjurkan oleh Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) melalui MAIPs.
Kerjasama turut melibatkan Universitas Deztron Indonesia, Universitas Ubudiyah Indonesia serta Lembaga Layanan Pendidikan Tinggi Wilayah 1 Sumatera Utara.
Baginda turut berkenan menyaksikan majlis penandatanganan surat hasrat antara Majlis Perbandaran Kangar dengan tiga pihak berkuasa tempatan Indonesia.
Kerjasama tersebut merangkumi perkembangan teknologi semasa, ekonomi pelbagai sektor dan pembangunan pendidikan. – Bernama