MELAKA: Kerajaan Melaka membelanjakan RM5.8 juta untuk menaik taraf Kompleks Hang Tuah Centre termasuk Muzium Hang Tuah di Duyong. Projek ini bermula sejak 2023 dan melibatkan penambahbaikan fasiliti serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam bahan pameran.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, berkata sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan khusus untuk menambah baik bahan pameran. “Kompleks ini kini menjadi antara destinasi pelancongan yang menarik di Melaka,“ katanya.
Selain itu, kerjasama dengan Melaka International College of Science and Technology (MiCoST) dijalankan untuk membangunkan permainan video berasaskan platform Roblox bertemakan Perkampungan Hang Tuah. Ini bertujuan menarik minat generasi muda.
Beberapa program baharu turut diperkenalkan, termasuk demonstrasi pembuatan cakar ayam dan pertunjukan silat mingguan. Aktiviti sukan rakyat juga dirancang setiap Ahad bagi meningkatkan kunjungan.
Dalam pada itu, Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Duyong akan diadakan selama dua minggu bermula 13 Julai. Antara aktiviti menarik termasuk kursus perkahwinan percuma untuk 100 peserta dan saringan awal kanak-kanak istimewa. - Bernama