• 2025-07-03 10:24 PM

KUANTAN: Polis menerima tiga laporan berhubung kecurian komponen kad slot di pencawang telekomunikasi di sekitar Raub semalam.

Ketua Polis Daerah Raub, Supt Mohd Shahril Abdul Rahman, berkata laporan tersebut diterima daripada syarikat telekomunikasi U Mobile, Maxis dan CelcomDigi.

“Kehilangan kad slot ini menyebabkan gangguan perkhidmatan kepada pengguna kerana gagal memproses data internet daripada rangkaian syarikat telekomunikasi terbabit,“ katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Raub di talian 09-3552222.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, berkata CelcomDigi sedang giat memulihkan rangkaian dengan menggantikan peralatan rosak serta membaik pulih menara terjejas.

“Setakat 5.30 petang, menara di Pekan Dong, Kampung Gesing, Kampung Chendra Chincin, Kampung Tanjung Putus, Kampung Bukit Pampong, Kampung Jelu, Kampung Gali Hilir, Kampung Hulu Temau dan Sungai Ruan telah berjaya dipulihkan,“ katanya menerusi hantaran Facebook.

Sebelum ini, Fadzli dilaporkan berkata sebuah menara komunikasi milik CelcomDigi di Dong, Raub rosak akibat vandalisme, menjejaskan perkhidmatan di beberapa kawasan sekitar.

Siasatan awal MCMC mendapati menara tersebut berfungsi sebagai ‘collector’ yang menghubungkan beberapa menara pemancar lain. – Bernama