• 2025-10-05 07:41 PM

KLANG: Daerah Petaling dinobatkan juara Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) ke-15, mengekalkan rekod cemerlang untuk kali ke-15 berturut-turut sejak penganjuran sulung temasya sukan negeri itu bermula 1995.

Kontinjen Petaling meraih 91 pingat dengan 42 emas, 28 perak dan 21 gangsa.

Daerah Klang menjadi naik johan dengan kutipan 21 pingat emas, 26 perak dan 26 gangsa manakala Sepang di tempat ketiga dengan kutipan 14 emas, 16 perak dan 16 gangsa.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi menyampaikan piala kemenangan pada Majlis Penutup SUKSES di Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), di sini hari ini.

SUKSES dari 17 Sept hingga hari ini, menobatkan atlet olahraga daerah Kuala Selangor Muhamad Daniel Haqiem Azman, 20, sebagai olahragawan manakala atlet olahraga Petaling Sasha Alyssa Philip, 16, diumumkan olahragawati kejohanan.

Muhamad Daniel Haqiem meraih dua emas dan Sasha Alyssa yang membawa pulang tiga emas menerima wang tunai RM1,000 setiap seorang.

SUKSES kali ini menyaksikan 11 sukan dipertandingkan iaitu boling padang, taekwondo, sepak takraw, bola jaring, ragbi, pencak silat, olahraga, bola keranjang, bola tampar, memanah dan pingpong.

Sebanyak 401 pingat ditawarkan menerusi 121 acara sukan dengan semua acara dipertandingkan di Klang kecuali boling padang, sepak takraw, bola jaring, ragbi dan bola tampar di Shah Alam.

Penganjuran SUKSES kali ini disertai lebih 2,300 atlet bawah 20 tahun dan mengekalkan format pertandingan sukan dipertandingkan pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) sebagai platform persediaan dan pendedahan awal kepada atlet Selangor- Bernama