• 2025-10-05 09:06 PM

KUALA LUMPUR: Episod malang Imigresen FC (IFC) berterusan apabila mereka tewas 1-3 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri Baru Kawan, George Town, hari ini.

Skuad Gergasi Merah tampil garang sejak sepak mula dengan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang tuan rumah, namun kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan pada babak pertama..

Bersambung babak kedua, anak buah Katsuhito Kinoshita tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan apabila pemain import dari Belanda, Alvin Fortes meledak gol pembukaan menerusi rembatan kencang pada minit ke-56.

Gol berkenaan berpunca daripada gerakan lincah kapten Faisal Halim yang melakukan hantaran lintang tepat kepada Fortes sebelum pemain itu mudah menewaskan penjaga gol IFCMuhammad Farhan Abdul Majid.

Tersentak dengan jaringan tersebut, IFC mula menggandakan asakan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila penyerang import Eduardo Sossa menyamakan kedudukan pada minit ke-66.

Namun kegembiraan skuad kendalian Yusri Che Lah itu tidak bertahan lama apabila seminit kemudian, penyerang Selangor FC, Crigor Flores Moraes menjaringkan gol kedua untuk kembali meletakkan pasukan di hadapan.

Faisal Halim kemudian melengkapkan hari gemilang Selangor FC dengan jaringan ketiga pada minit ke-71.

Keputusan itu menyaksikan IFC gagal memburu kemenangan sulung dalam kempen kali ini selepas enam perlawanan dan kini tercorot dalam tangga liga dengan dua mata, manakala Selangor berada di kedudukan kelima dengan sembilan mata - Bernama