• 2025-07-28 12:53 PM

ALOR SETAR: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pilihan menggunakan dokumen tuntutan palsu bernilai RM50,000 lapan tahun lepas.

Fakhruziyahdy Shaari, 53, didakwa telah menggunakan satu set dokumen tuntutan palsu berkaitan dengan kerja-kerja selenggaraan 16 kamera litar tertutup (CCTV) di Pusat Pemulihan Pemasyarakatan (PPP) Kem Sultan Abdul Halim Muadzam Shah bernilai RM50,000, di Markas Stesen Staf, Kem Lapangan Terbang Sungai Petani pada 20 Nov 2017.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan 19 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Zulfadli Azharuddin manakala tertuduh diwakili peguam Kamal Hisham Jaafar- BERNAMA