KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyeru semua koperasi wanita khususnya di Sabah melonjakkan prestasi pencapaian perolehan mereka.
Beliau menyatakan terdapat 250 koperasi wanita berdaftar di seluruh negara dengan pencapaian perolehan RM16.2 juta setakat ini.
Di Sabah, sebanyak 33 koperasi wanita merekodkan pencapaian perolehan RM1.3 juta sahaja.
“Pencapaian perolehan bagi koperasi wanita di negeri ini sangat minimum berbanding lebih 1,900 koperasi di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Seminar Kepimpinan dan Keusahawanan Koperasi Wanita.
Penganjuran seminar berkenaan di Sabah untuk kali pertama merupakan antara usaha membantu melonjakkan prestasi koperasi wanita di negeri tersebut.
Seminar itu juga langkah awal untuk membantu koperasi terlibat menyampaikan maklumat pelbagai agensi serta memberi motivasi dan galakan kepada koperasi wanita.
Ewon berkata penganjuran seminar untuk wanita itu dapat memberi galakan kepada warga koperasi dan usahawan wanita untuk terus relevan, berdaya saing dan berkembang maju.
Ia sekali gus menyokong pencapaian objektif Dasar Koperasi Malaysia 2030, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Pelan Transformasi Koperasi 2021-2025.
“Inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ialah membantu memudahkan aktiviti perniagaan koperasi serta usahawan di Malaysia melalui agensi.
“Pelbagai insentif bersesuaian dengan keperluan usahawan dan koperasi termasuk di Sabah dan Sarawak telah diwujudkan di bawah Kerajaan MADANI,” katanya.
Seminar kepimpinan dua hari yang berakhir hari ini telah disertai oleh 150 peserta. – Bernama