BUKIT KAYU HITAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah mengesan 580 kenderaan membuat pengisian minyak secara berulang dalam sehari di beberapa stesen berbeza berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di sini.

Pengarahnya Muhammad Nizam Jamaludin berkata pihaknya mengesan kegiatan itu sejak 25 Sept lepas.

“Sebanyak 19,705 kenderaan direkodkan (mengisi minyak) dengan 19,001 ialah kenderaan tempatan dan 704 kenderaan pendaftaran asing.

“Daripada jumlah itu sebanyak 580 kenderaan dikesan melakukan pengisian minyak melebihi sekali dalam hari yang sama,“ katanya kepada pemberita selepas membuat pemantauan di beberapa stesen minyak di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya sedang memantapkan kawalan bagi mengekang aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi.

Muhammad Nizam berkata pihaknya bertindak menugaskan pegawai secara statik dan pengauditan di enam stesen minyak di daerah Kubang Pasu dan Baling; mengerakkan unit rondaan penguat kuasa; melakukan risikan serta mengambil tindakan daripada maklumat diperoleh.

Beliau berkata pendekatan itu dapat mengenal pasti keperluan kuota sebenar stesen minyak dan maklumat kenderaan yang membuat pengisian petrol atau diesel.

Siasatan juga mendapati penyelewengan bahan bersubsidi itu turut dilakukan secara individu atau kumpulan kecil menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran tempatan.

Modus operandi mereka dengan membuat pembelian menggunakan tong kecil dan ada kenderaan mempunyai tangki tambahan serta dipercayai menjadikan kampung terpencil sebagai tempat pengumpulan bahan api itu.

Sementara itu, beliau berkata menerusi Op Tiris 3.0 yang dijalankan sepanjang tahun ini, sebanyak 1,982 pemeriksaan direkodkan dan 158 kes diambil tindakan dengan melibatkan rampasan keseluruhan melebihi RM2.9 juta.

“Sebanyak 17 kertas siasatan telah menerima izin daripada timbalan pendakwa raya untuk didaftarkan ke mahkamah bagi tujuan pendakwaan,” katanya.