KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan seorang lelaki yang membuat pembelian minyak petrol secara berulang di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam.

Pengarah berkenaan Azman Ismail dalam kenyataan hari ini berkata lelaki berusia 30-an itu didapati membuat pembelian bahan api itu pada 11.11 pagi berjumlah RM100 dan RM75 pada 12.28 tengah hari.

Beliau berkata lelaki terbabit ditahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 manakala KPDN turut membuat siasatan ke atas stesen minyak terbabit mengikut akta sama kerana melanggar Arahan Pengawal Bekalan KPDN dengan membenarkan pelanggan membuat pembelian pengisian berulang.

“KPDN Kelantan melipat gandakan usaha membanteras ketirisan barang kawalan di sempadan negara ini bersama dengan agensi berkaitan sempadan dari semasa ke semasa,” katanya.