KAJANG: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menangguhkan prosiding jatuh hukum terhadap seorang pengasuh sebuah taska, yang didakwa mendedahkan seorang bayi perempuan berusia 17 bulan yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal kepada 24 Sept.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid menetapkan tarikh baharu itu selepas peguam S. Priyalatha yang mewakili Nor A’in Ismail, 24, memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya dijangka bersalin pada minggu hadapan.

“Pihak kami ingin membuat permohonan agar jatuh hukum ditetapkan kepada satu tarikh baharu, iaitu selepas tertuduh bersalin dan berpantang.

“Setakat hari ini, tertuduh masih mengekalkan pengakuan bersalah dan laporan forensik serta perubatan mangsa juga telah selesai,” kata peguam itu pada prosiding hari ini, yang ditetapkan untuk jatuh hukum.

Priyalatha berkata anak guamnya juga hadir pada prosiding hari ini, yang jelas menunjukkan tertuduh akan memberikan kerjasama penuh sehingga kes selesai.

Timbalan Pendakwa Raya Faelly Jeffrey Lanjungan tidak membantah permohonan pihak pembelaan untuk menunda jatuh hukum ke tarikh lain, mengambil kira keadaan tertuduh yang sarat mengandung.

Pada 6 Jun, Nor A’in mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap seorang bayi berusia 17 bulan di sebuah taska di Bandar Mahkota Cheras di sini pada 4.15 petang 28 Mei.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.