Semua penaja pendidikan Sabah digabungkan dalam portal PTPS - Hajiji

KOTA KINABALU: Sabah melakar sejarah apabila menggabungkan semua penaja utama dalam pendidikan di negeri itu di bawah satu platform dikenali Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) yang dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini.

Hajiji berkata PTPS ialah inisiatif baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkasakan serta memudahkan penyaluran bantuan kepada anak Sabah terutama pada peringkat pengajian tinggi melalui gabungan kerjasama badan penaja utama dan pemberi bantuan pendidikan di negeri ini.

Beliau berkata gabungan itu terdiri daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN), Kumpulan Yayasan Sabah (YS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta agensi pemberi bantuan dalam pendidikan iaitu Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-tugas Khas) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

“Pembangunan portal yang bersepadu itu merupakan pendekatan holistik untuk menyelaraskan semua badan penaja di Sabah dan agensi pemberi bantuan pendidikan. Portal ini akan menjadi platfom rasmi kepada pelajar untuk memohon tajaan pendidikan di negeri ini.

“Sebelum ini, semua penaja mengendalikan proses tajaan secara berasingan melalui laman web masing-masing. Namun, melalui platform ini permohonan akan digabungkan dan diintegrasikan dalam satu portal,” katanya pada Majlis Pelancaran PTPS di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri amat prihatin terhadap anak Sabah yang tidak mempunyai tajaan dengan mengambil inisiatif mengadakan program jerayawara diketuai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Beliau berkata jerayawara itu diadakan bersama badan-badan penaja dan pemberi bantuan pendidikan di negeri Sabah bertujuan menyantuni dan mengenal pasti pelajar yang tidak mempunyai tajaan dan mendengar suara mereka mengenai isu dan hal ehwal di universiti.

“Program itu yang berlangsung dari bulan April hingga Jun telah mengenal pasti sebanyak 2,130 pelajar Sabah untuk diberikan tajaan setelah menyantuni pelajar-pelajar Sabah di 26 universiti awam induk dan cawangan, melibatkan 11 negeri di Semenanjung Malaysia dan Sarawak,” katanya.

Hajiji berharap lebih banyak syarikat korporat terus membantu bagi memperkasakan dana sumbangan pendidikan negeri Sabah.

Beliau juga mahu semua Pegawai Daerah dan Pegawai Daerah Kecil sama-sama memainkan peranan menghebahkan maklumat tentang hala tuju pembangunan modal insan melalui PTPS.

“Hal ini bertujuan bagi memastikan pelajar-pelajar luar bandar tidak tercicir dalam pembangunan modal insan selaras dengan inisiatif SMJ. Kerajaan Sabah akan terus menyokong dan komited dalam memperkasakan modal insan menerusi pembangunan sektor pendidikan di negeri ini,” katanya.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor - fotoBERNAMA