KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur telah mengeluarkan 47 notis kepada peniaga berikutan pelarasan harga selepas kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada enam kepada lapan peratus.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman, berkata notis itu dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 selepas pemeriksaan lebih 80 premis di sekitar ibu negara menerusi Op Kesan 4.0 sejak 1 Julai lalu.
“Notis ini melibatkan 154 barangan untuk tujuan pengumpulan data dan analisis,“ katanya selepas melakukan pemeriksaan di sebuah pasar raya di Jalan Klang Lama hari ini.
Sepanjang operasi, KPDN turut menerima 27 aduan pengguna berkaitan harga barangan, termasuk makanan sedia dimakan.
“Bagi aduan harga dan bekalan, siasatan akan dimulakan dalam tempoh 24 jam dengan tindakan susulan diambil jika perlu,“ jelasnya.
Pemantauan mendapati harga barangan masih terkawal meskipun berlaku pelarasan SST. KPDN menggunakan tiga pendekatan utama dalam Op Kesan 4.0: pengumpulan data harga harian, pemantauan oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH), dan risikan pasaran oleh Bahagian Penguat Kuasa.
“Tindakan tegas akan dikenakan ke atas peniaga yang menaikkan harga secara tidak munasabah,“ tegas Mohd Sabri.
Individu yang sabit kesalahan pencatutan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun, manakala syarikat boleh didenda maksimum RM500,000.
Op Kesan 4.0 dilaksanakan bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga keperluan harian secara tidak wajar - Bernama