DUNGUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu mematahkan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Paka, di sini malam tadi.

Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata tangkapan itu dibuat dalam satu serbuan Ops Tiris 3.0 oleh lima anggota penguat kuasa KPDN Terengganu kira-kira 9.40 malam.

Beliau berkata ketika serbuan, suspek yang juga pemandu lori sedang mengisi diesel ke dalam tong plastik ditempatkan di dalam bahagian kargo kenderaan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan terhadap lori tersebut menemukan tujuh tong plastik berisi minyak diesel dianggarkan sebanyak 140 liter.

“Sebuah lori, empat unit pam air dan beberapa dokumen berkaitan telah disita dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM98,371. Turut ditahan pemandu lori berusia lingkungan 40 tahun itu,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Saharuddin, maklumat awal mendapati pemandu lori berkenaan sering memberi minyak diesel bersubsidi di setesen minyak di sekitar Kerteh dan Paka yang diisi ke dalam tong-tong berkapasiti 25 liter dipercayai untuk kegunaan jentera berat bagi kerja-kerja mengorek pasir.

Beliau berkata KPDN Terengganu telah membuka kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dengan rantaian pengedaran diesel berkenaan.

“KPDN Terengganu melalui 112 anggota penguat kuasa akan mempertingkat pemantauan di semua 170 lokasi stesen minyak yang ada di negeri ini,” katanya.

Katanya, jika sabit kesalahan pelaku boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.