PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang untuk mewujudkan Pusat Pandu Lalu Kitar Semula (DTRC) di semua pusat membeli-belah seluruh negara bagi memperluas kemudahan itu kepada rakyat.
Menteri berkaitan Nga Kor Ming berkata kajian mengenai perkara itu akan dilaksanakan tahun hadapan.
“Mulai tahun depan KPKT akan mengkaji kemungkinan sama ada semua pusat membeli-belah kena wujudkan DTRC atau sekurang-kurangnya ada fasiliti untuk kitar semula sebagai antara syarat permohonan untuk dapatkan lesen perniagaan pusat beli-belah,“ katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Apresiasi Sempena Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2024 di Everly Hotel, di sini hari ini.
Menurut Nga, sehingga kini sebanyak 5,836 kemudahan kitar semula telah dikenal pasti di tujuh negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) manakala 153 DTRC telah diwujudkan di Malaysia.
Beliau berkata inisiatif itu tidak mungkin wujud tanpa sokongan daripada pihak swasta mahupun orang awam yang memanfaatkan kemudahan berkenaan.
Malah katanya KPKT menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) turut menjalinkan kerjasama dengan kementerian lain termasuk Kementerian Pendidikan dalam menganjurkan Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) setiap tahun bagi melahirkan generasi muda yang mementingkan penjagaan persekitaran.
Nga berkata pada tahun ini sahaja sebanyak 1,619 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara menyertai pertandingan itu dengan merekodkan kutipan sebanyak 4.26 juta kilogram barangan kitar semula bernilai RM3.4 juta.
Dalam pada itu, beliau berkata bagi mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal yang holistik, cekap dan mampan serta selaras dengan hierarki pengurusan sisa, KPKT menyasarkan peningkatan Kadar Kitar Semula Kebangsaan kepada 40 peratus menjelang 2025.
Pada majlis itu turut diumumkan Kadar Kitar Semula Kebangsaan tahun ini telah meningkat kepada 37.9 peratus berbanding 33.17 peratus pada 2023.
Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan merupakan acara tahunan KPKT sejak 2015 bertujuan mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan memberikan pengiktirafan kepada pihak yang aktif dalam mempelopori amalan 3R (mengurangkan, mengguna semula dan mengitar semula).