KOTA TINGGI: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mentransformasikan tapak pelupusan sisa pepejal kepada taman rekreasi lestari dengan kos RM23 juta sebagai usaha memulihara alam sekitar.

Menterinya Nga Kor Ming berkata inisiatif itu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang memberi penekanan terhadap aspek kemampanan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata taman rekreasi yang akan dilengkapi dengan landskap termasuk 17,000 pokok renek, wakaf, pergola, tandas, dataran dan kincir angin itu akan dilaksanakan secara usaha sama oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) serta Jabatan Landskap Negara.

“Hari ini KPKT berjaya mentransformasikan tapak pelupusan sisa pepejal yang telah ditutup di kawasan Felda Tenggara dengan selamat kepada taman rekreasi (lestari park) seluas 18.7 ekar (7.568 hektar) di Bandar Tenggara.

“... ini merupakan antara fokus KPKT bagi memulihara alam sekitar serta mengurus sisa pepejal menerusi teknologi moden yang mapan dan efisien,” katanya ketika meninjau kemajuan projek transformasi itu di Bandar Tenggara di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JPSPN Datuk Dr Mohd Azhar Abd Hamid, Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara Mansor Mohamad dan Ahli Parlimen Tenggara Manndzri Nasib.

Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata selain itu, komponen pemulihan alam sekitar akan merangkumi kolam rawatan perairan, sistem pengudaraan gas dan kolam penahanan di tapak.

“Projek pembangunan tapak ini telah mencapai lebih daripada 90 peratus dan dijangka siap pada 2025 sebelum Tahun Melawat Johor,“ katanya yang menginspirasikan projek berkenaan.

Beliau berkata tapak pelupusan itu dulunya berbau busuk dan tercemar serta menampung hampir 50 tan sisa pepejal setiap hari, malah telah menyimpan lebih daripada 360,000 tan metrik sampah sejak 1999.

“Bagaimanapun, di bawah kerajaan MADANI kami dalam proses membina semula tapak pelupusan sisa pepejal ini agar rakyat dapat bersenam dan beriadah di samping memupuk gaya hidup keluarga sihat,“ katanya.