KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang melaksanakan intervensi kurikulum bagi memperkukuh tahap penguasaan literasi dan numerasi murid secara menyeluruh menerusi penyediaan modul kepada guru.
Pengarah Bahagian Pembangunan Kokurikulum KPM Dr Rusmini Ku Ahmad berkata pelaksanaan intervensi itu adalah hasil daripada cadangan ibu bapa serta guru berkaitan pembelajaran yang dianggap sukar, kompleks dan tidak sesuai dengan usia murid.
“Berdasarkan pandangan ini, kami dapat mengenal pasti ruang-ruang untuk penambahbaikan. Agenda utama kami adalah untuk menyokong guru melalui modul sekali gus memberikan bantuan kepada guru sekiranya mereka menghadapi kesukaran dalam membantu murid-murid.
“Kami telah melaksanakan intervensi kurikulum dengan menyediakan dokumen penjajaran kurikulum edisi ketiga dan modul bimbingan yang lebih ringkas,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu pada program Ruang Bicara terbitan Bertama TV malam ini.
Dr Rusmini berkata modul lain yang telah diperkenalkan termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Matematik dan Sains selain usaha penambahbaikan masih diteruskan dengan mengambil kira kesesuaian dan pendekatan pengajaran guru.
“Ramai pihak awam menyatakan kebimbangan (mengenai tahap penguasaan murid) terutamanya dalam subjek Matematik, Sains dan Bahasa Melayu bamun, Bahasa Inggeris tidak dianggap isu besar kerana maklum balas menunjukkan ia lebih mudah dan menyeronokkan.
“Oleh itu ia (modul yang disediakan) ialah pilihan bagi guru-guru sama ada ingin menggunakannya atau tidak bergantung kepada impak penggunaannya,” katanya.
Mengenai keberkesanan pelaksanaan modul intervensi berkenaan, Dr Rusmini berkata KPM telah menetapkan garis masa untuk menilai tahap penguasaan dan pencapaian murid.
“Keberkesanan ini akan dinilai melalui tinjauan dan kajian kes serta pencapaian murid. Kami berharap selepas tiga bulan, akan ada pengurangan bilangan murid yang masih belum menguasai literasi dan numerasi, serta peningkatan pemahaman mereka melalui penggunaan modul yang lebih mudah,” katanya.