JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan (KPM) meluluskan peruntukan sebanyak RM6 juta bagi pembinaan bangunan sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Perigi Acheh, Pasir Gudang dekat sini yang akan bermula pada Jun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata bangunan sementara tersebut akan dibina berdekatan struktur asal sekolah itu dan dijangka siap sepenuhnya pada 1 Dis tahun ini dan boleh digunakan pada 1 Jan untuk sesi persekolahan 2025.

“Bangunan sementara itu akan dibina menggunakan skeleton frame dan simen board, yang mempunyai daya ketahanan antara tujuh hingga sembilan tahun,” katanya pada sidang media selepas melawat SK Perigi Acheh semalam.

Beliau berkata struktur asal bangunan sekolah yang dibuka pada 1 Jan 2000 itu telah ditutup sejak 30 Julai 2021, kerana tidak lagi selamat untuk sesi pembelajaran dan setakat ini terdapat 95 murid sekolah berkenaan ditumpangkan di SK Tanjong Langsat, Pasir Gudang.

Dalam isu berkaitan, beliau berkata kerajaan negeri bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor dalam proses memohon peruntukan KPM bagi pembinaan semula sekolah baharu SK Perigi Acheh di bawah Rolling Plan ke-5 (RP5) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK), pada tahun ini.

Menurut beliau dengan itu, bangunan sekolah sedia ada dengan struktur kayu itu akan dapat dirobohkan bagi pelaksanaan pembinaan bangunan baharu. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image