• 2025-07-13 11:49 AM

ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil tanggungjawab penuh terhadap kebajikan Putri Qisya Nur Izzat, 12, termasuk memantau tahap psiko emosional kanak-kanak itu.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya telah mengarahkan pihak sekolah untuk memberi keutamaan terhadap aspek berkenaan memandangkan Putri Qisya kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam tragedi di Sungai Korok minggu lepas.

“KPM akan mengambil tanggungjawab penuh terhadapnya selagi dia di bawah KPM. Saya dimaklumkan juga Putri Qisya sangat rapat dengan guru kelasnya jadi saya minta beliau untuk memantau psiko emosi dan kebajikannya sepanjang dia belajar di sekolah ini dan kita doakan supaya dia diberi kekuatan.

“Saya juga dimaklumkan Putri Qisya turut mendapat kaunseling daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dari semasa ke semasa,“ katanya selepas menyantuni Putri Qisya di Sekolah Kebangsaan Seberang Perak Baru di sini hari ini.

Buat masa ini, Putri Qisya masih belum memulakan sesi persekolahan sepenuhnya kerana masih dalam peringkat pemulihan emosi dan kanak-kanak itu boleh kembali ke sekolah apabila semangatnya lebih kuat selepas ini.

Pada lawatan hari ini Fadhlina turut menyampaikan Bayaran Tuntutan Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia, sumbangan daripada Yayasan Didik Negara dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah kepada Putri Qisya.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu dan bapa saudara yang mengambil tanggungjawab untuk menjaga Putri Qisya,“ katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina turut berkongsi perbualan mengenai kesungguhan Putri Qisya untuk menyambung pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) selepas tamat tahun enam, demi mengejar cita-citanya menjadi juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Putri Qisya ialah anak sulung pasangan suami isteri Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, yang terkorban bersama empat anak mereka selepas kereta terbabas ke dalam Sungai Korok di sini pada 7 Julai.

Empat anak mereka Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan, turut terkorban - BERNAMA