SINTOK: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang berusaha memastikan capaian Internet di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berada pada tahap tertinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata KPT sedang bekerjasama dengan pihak berkaitan, seperti yang diarahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu isu kelemahan capaian Internet di IPTA diselesaikan segera.
“Perdana Menteri ingin memastikan semua IPTA dan politeknik dilengkapi dengan capaian Internet yang tinggi. Ini bermakna bukan sekadar ada, tetapi ia perlu konsisten...kadang-kadang ada, kadang-kadang tidak.
“Paling penting, capaian Internet yang optimum membolehkan proses penyelidikan dan pembelajaran di universiti berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan,“ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program In Person With Doc Zam di Dewan Mu’adzam Shah, di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, malam tadi.
Menurut Zambry kajian mengenai usaha meningkatkan capaian Internet di semua universiti awam telah dijalankan, dan peringkat seterusnya akan melibatkan politeknik.
Sementara itu, Zambry berkata siri jelajah program In Person With Doc Zam yang berakhir malam tadi di UUM, telah memberi impak positif serta mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada para pelajar universiti yang dikunjungi beliau.
“Malam ini (semalam) adalah rangkuman kepada siri jelajah saya sempena pendaftaran pelajar-pelajar baharu ke univerisiti. Kita pilih empat kawasan (universiti) iaitu dua di Lembah Klang dan dua lagi di luar kawasan Lembah Klang.
“Kita melihat sambutan yang sangat baik kerana pelajar berpeluang berinteraksi secara langsung dengan menteri. Ini adalah pendekatan yang saya gunakan semasa menjadi Menteri Besar untuk dekat dengan mereka,“ katanya.
Beliau berkata minggu pertama kemasukan ke universiti bukan hanya sekadar minggu orientasi, tetapi merupakan proses penyesuaian bagi para pelajar ke alam baharu, kerana mereka memerlukan masa untuk mengadaptasi diri dengan suasana yang berbeza.
Dalam sesi yang dikendalikan oleh pelakon dan pengacara Fizo Omar, Zambry turut berkongsi kisah hidupnya sebagai anak nelayan yang dibesarkan di perkampungan nelayan di Pulau Pangkor.
Beliau juga berpesan kepada pelajar, terutamanya daripada golongan yang kurang berkemampuan, agar tidak menjadikan kesukaran hidup sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan.