PETALING JAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu segera menangani isu peningkatan kes HIV melibatkan pelajar pengajian tinggi di Malaysia kerana hubungan sejenis, kata Dr Daroyah Alwi.
Ketua Wanita Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu berkata KPT perlu menubuhkan pasukan khas untuk mengkaji isu ini secara mendalam bagi mencari punca mengapa pelajar terlibat dalam hubungan sejenis serta tahap kesedaran mereka tentang perlindungan hubungan seks.
“Seks songsang boleh menjejaskan kesihatan mereka akibat dijangkiti virus HIV yang boleh membawa kesan yang meluas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dorayah berkata pelajar universiti adalah harapan negara dan jika mereka dijangkiti penyakit kelamin (STD), ia bukan hanya memberi kesan buruk kepada pelajar, tetapi juga negara yang sudah banyak melabur untuk masa hadapan pelajar.
Kenyataan beliau dikeluar sebagai ulasan kepada pendedahan dibuat pakar kesihatan keluarga Dr Sakinah Sulong dalam sebuah forum baru-baru ini.
Sebuah akhbar tempatan melaporkan Dr Sakinah berkata kebanyakan pesakit dijangkiti HIV kerana seks gay adalah dalam kalangan pelajar pengajian tinggi.
Katanya, ia menimbulkan kerisauan kerana ia melibatkan orang muda.
“Tak keterlaluan saya katakan, dalam 100 pesakit HIV, majoritinya anak muda yang dapat HIV daripada hubungan seks sesama jenis,” katanya dipetik berkata.
Daroyah sebagai langkah sementara, KPT sepatutnya mengarahkan pentadbiran universiti untuk melaksanakan program pelajar di kampus bagi membendung isu ini.
“PBM berpandangan bahawa trend ini perlu dihentikan segera.
“Sekiranya tiada apa yang dilakukan untuk membendung arus gaya hidup yang bertentangan dengan nilai tempatan kita, ia akan mendapat penerimaan masyarakat yang lebih meluas, terutamanya dalam kalangan pelajar universiti.
“Ini bukan sahaja akan mengakibatkan kos kesihatan yang tinggi kepada negara ini tetapi ia juga akan menjejaskan asas sosial kita,” kata beliau.