• 2025-08-11 11:15 AM

GUA MUSANG: Empat orang maut termasuk dua kanak-kanak manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan jalan raya di sini pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, kejadian berlaku selepas kereta jenis Honda bertembung dengan sebuah lori treler di Jalan Utama, Felda Chiku 1.

Jurucakap JBPM Kelantan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.07 pagi sebelum menghantar pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang ke lokasi.

“Setibanya di lokasi pada 9.34 pagi, didapati lima mangsa dalam kereta tersepit akibat kemalangan tersebut,“ katanya.

Pemandu lori dilaporkan selamat manakala pemandu kereta, seorang wanita dewasa, berada dalam keadaan nazak.

Empat penumpang kereta termasuk dua kanak-kanak disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan kecemasan.

Mayat mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk proses pengurusan selanjutnya.

Operasi penyelamatan diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Nik Mohd Fakri Md Nawi dengan melibatkan sepuluh anggota bomba.

Pasukan penyelamat menggunakan jentera FRT, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan FRV Triton dalam operasi tersebut.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan semua mangsa telah dihantar ke Hospital Gua Musang.

Operasi penyelamatan telah tamat sepenuhnya selepas semua mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan terlibat. – Bernama