PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dalam proses mengemas kini Dasar Keluarga Negara (DKN) yang baharu.
KPWKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia bertujuan agar dasar itu kekal relevan dan responsif terhadap perubahan ekonomi, demografi dan sosial demi menyokong kesejahteraan keluarga serta menjayakan aspirasi Malaysia MADANI yang inklusif dan progresif.
“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab mengarusperdanakan kesejahteraan keluarga di Malaysia, KPWKM menerusi LPPKN memainkan peranan penting dalam menerajui pelaksanaan DKN dan pelan tindakannya.
“Dasar berkenaan memberi penekanan kepada pembangunan keluarga yang berdaya tahan, sejahtera dan mampan,” menurut KPWKM dalam kenyataan sempena Hari Keluarga Antarabangsa yang disambut pada 15 Mei setiap tahun.
Menurut KPWKM, satu daripada inisiatif di dalam DKN iaitu Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) terus dijadikan sebagai satu daripada Petunjuk Prestasi Keberhasilan (KPI) Nasional dalam rancangan pembangunan negara sejak Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11).
“Pengukuran ini terus dijadikan sasaran pada RMK-12 dan dijangka terus digunakan pada RMK-13 yang akan bermula pada 2026,” menurut kenyataan itu.
Bersempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, KPWKM melalui LPPKN juga telah dipilih sebagai focal point untuk terlibat dalam projek Collaboration on Understanding the State of ASEAN Families.
Kementerian itu memaklumkan usaha sama dalam kalangan anggota ASEAN berkenaan merupakan usaha secara kolektif dalam mengangkat martabat institusi keluarga sebagai unit asas utama di dalam masyarakat negara ASEAN.
“KPWKM percaya bahawa keluarga ialah teras kepada pembangunan masyarakat dan merupakan ejen perubahan penting dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Bersempena Hari Keluarga Antarabangsa 2025 ini, KPWKM menyeru rakyat Malaysia untuk terus menghargai dan memperkukuh institusi keluarga sebagai asas kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara,” menurut KPWKM.
Tema sambutan Hari Keluarga Antarabangsa 2025 ialah “Dasar Berorientasikan Keluarga untuk Pembangunan Lestari: Menuju Sidang Kemuncak Dunia Kedua untuk Pembangunan Sosial 2025”, yang menekankan peranan penting keluarga dalam mencapai pembangunan sosial yang mampan dan memperkukuh kesejahteraan masyarakat global.