KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkenalkan Anugerah Mesra Keluarga sempena Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri dalam ucapan sempena Sambutan BKK hari ini berkata menerusi anugerah itu, terdapat dua kategori iaitu Sektor Korporat dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata Anugerah Sektor Korporat diberikan kepada organisasi yang melaksanakan dasar, program dan inisiatif yang menyokong keseimbangan kerja dan kehidupan serta kesejahteraan mental pekerja, dengan penilaian dilakukan berdasarkan kemudahan mesra keluarga yang disediakan dan impak terhadap kesejahteraan pekerja.

Nancy berkata bagi Anugerah PBT, ia diberikan kepada PBT yang menyediakan perkhidmatan mesra keluarga kepada komuniti, termasuk penyediaan kemudahan awam yang selamat dan inklusif, program sokongan sosial untuk keluarga, serta dasar yang meningkatkan kesejahteraan komuniti.

“Pengenalan anugerah ini bertujuan untuk memberi galakan kepada majikan dan pihak berkuasa tempatan agar bekerjasama dengan kerajaan dalam menyokong polisi dan program mesra keluarga,“ katanya.

Sambutan yang bertemakan Kasih Keluarga, Jiwa MADANI itu dirasmikan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nancy berkata beliau berharap inisiatif berkenaan, dapat memperbaiki keseimbangan antara komitmen kerja dan keluarga serta akan meningkatkan produktiviti pekerja dan mewujudkan komuniti yang lebih sejahtera dan mesra keluarga.

Beliau berkata sambutan BKK yang disambut pada November setiap tahun adalah inisiatif kerajaan bagi menggalakkan rakyat meluangkan lebih masa bersama keluarga, bagi memupuk ikatan keluarga yang lebih kukuh dengan mempromosikan nilai murni seperti kasih sayang, hormat dan tanggungjawab dalam unit keluarga.

Sambutan BKK 2024 hari ini dimeriahkan dengan acara Kasih Family Fun Run dan Karnival Keluarga yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik.

Selain itu, sambutan itu juga akan diadakan di peringkat negeri sebagai tanda kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dalam memartabatkan institusi keluarga.