KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menerusi Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings SDN. Bhd (KUM) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Japan Orchid Inc (J.Orchid) bagi membangunkan Projek Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Berintergrasi dan Fasiliti Karbonisasi di Tanah Merah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin berkata kedua-dua syarikat itu mula berinteraksi sejak tahun lepas apabila J.Orchid membentangkan kertas cadangan projek berkenaan semasa mesyuarat bersama KUM dan anak syarikatnya iaitu Pengurusan Sisa Pepejal Mubaarakan Sdn Bhd (PSPM).

“KUM menerusi PSPM merupakan syarikat yang bertanggunjawab bagi pengurusan sisa pepejal di tapak pelupusan Beris Lalang, Bachok, yang mmenerima sisa daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Perbandaran Kota Bharu, Majlis Daerah Bachok dan Majlis Daerah Pasir Puteh,“ katanya pada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu di sini hari ini.

MoU berkenaan ditandatangani Izani sebagai wakil kerajaan negeri dan Pengarah Syarikat J.Orchid Hayakawa Yoriaki.