SEPANG: Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 283 orang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada kira-kira 8.50 malam, yang menandakan bermulanya operasi haji fasa kedua untuk Musim Haji 1446H/2025M, bagi menyambut kepulangan jemaah haji ke tanah air.

Ketibaan mereka disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad.

Kumpulan pertama, yang terdiri daripada jemaah Kedah dan Selangor, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada 5.40 pagi (waktu Arab Saudi) hari sama dengan menaiki pesawat AMAL by Malaysia Airlines (MH 8251).

“Alhamdulillah, operasi haji tahun ini berjalan dengan lancar dan telah sampai ke penghujungnya... kita mula membawa pulang jemaah ke tanah air. Kita doakan agar semua pulang dengan selamat.

“Tahniah dan syabas kepada TH kerana berjaya meningkatkan kualiti perkhidmatan sehingga diiktiraf dengan anugerah tertinggi Labaytum iaitu Diamond Award bagi pengurusan haji terbaik dunia,“ katanya.

Mohd Na’im berkata matlamat operasi haji kali ini berjaya dicapai antaranya TH telah menyelaraskan operasi besar penghantaran kesemua jemaah haji Malaysia melaksanakan wuquf di Arafah dengan lancar termasuk jemaah uzur.

Beliau berkata seramai 95 jemaah yang mengalami masalah kesihatan telah dibawa berwuquf di Arafah menggunakan 10 bas khas melalui program Safari Wuquf.

Mustakim pula berkata TH akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada para jemaah haji Malaysia dan membuat penambahbaikan berterusan bagi meningkatkan kualitinya pada musim haji akan datang.

“Walaupun berdepan cabaran seperti cuaca panas dan ruang khemah yang terhad di Mina setiap tahun, namun Alhamdulillah, dengan kerjasama semua pihak, TH dapat melaksanakan beberapa penambahbaikan seperti tambahan kemudahan tandas dan ruang simpanan barangan bagi memastikan operasi haji secara keseluruhan, terutamanya operasi Masyair, dapat dilaksanakan dengan tertib dan memuaskan,“ katanya.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines bagi membawa 31,600 jemaah haji pulang ke tanah air bermula 14 Jun.

Penerbangan terakhir dijadualkan pada 10 Julai ini.