Your Title

KUALA LUMPUR: Penyasaran subsidi diesel tidak seharusnya memberi impak terhadap harga rumah, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata sebelum kerajaan memperkenalkan penyasaran susbsidi bahan api itu, sektor berkenaan sememangnya tidak menerima sebarang subsidi diesel.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa memantau supaya tiada pihak mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan susulan harga baharu bahan api itu.

“Semua pihak sedar sektor komersial ini (pembinaan) tidak menikmati subsidi disesel...dulu tiada dan sekarang pun tiada... maka saya rasa tidak ada impak langsung kepada harga rumah. Tetapi KPKT akan sentiasa memantau dan memastikaan tiada aktiviti mengaut keuntungan yang tidak perlu dalam perkara ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab lisan bagi soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) sama ada kementerian itu bersedia berdepan keadaan kenaikan harga diesel dijadikan alasan kelewatan menyiapkan projek rumah.

Sementara itu, bagi menyelesaikan masalah projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai, Nga berkata Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) telah ditubuhkan dan dalam tempoh dua tahun selepas TFST berjaya menyelamatkan 663 projek rumah melibatkan 78,554 pembeli dengan nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM57.09 bilion.

“Bagi tempoh 2023, TFST berjaya menyelesaikan 452 projek perumahan swasta yang sakit dan terbengkalai melibatkan 53,697 unit rumah dengan GDV RM39.14 bilion.

“Sementara itu untuk tahun ini sehingga tempoh 31 Mei, sebanyak 211 projek swasta sakit dan terbengkalai dipulihkan melibatkan 24,857 unit rumah dengan nilai GDV RM17.28 bilion,” katanya menjawab soalan asal Manndzri mengenai bantuan KPT dalam menyelesaikan masalah projek perumahan sakit.

Selain itu, Nga berkata KPKT turut melaksanakan pemantauan berkala, turun padang ke tapak projek, dan libat urus bersama agensi teknikal serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengenal pasti kaedah pencegahan atau penyelesaian yang lebih berfokus bersama pemaju.

Katanya ia termasuk mengemukakan senarai nama pembeli yang terkesan dengan projek-projek perumahan kerajaan seperti Residensi Wilayah, PR1MA, Program Perumahan Penjawat Awam (PPAM), dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi mempertimbangkan penstrukturan semula bayaran pinjaman.

Menurutnya, pada masa sama KPKT sedang dalam proses meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) untuk mengheret pemaju yang terlibat dalam kes penipuan atau projek terbengkalai ke mahkamah, malah melarang mereka daripada meninggalkan negara.

Menjawab soalan tambahan Roslan Bin Hashim (PN-Kulim Bandar Bahru) berhubung projek perumahan PR1MA yang mengalami kelewatan, Nga berkata terdapat 24 projek perumahan itu berstatus sakit dan KPKT sudah melaksanakan beberapa pendekatan penyelesaian.

“Semua projek PR1MA yang baru, KPKT tetap wajib melaksanakan kajian kebolehlaksanaan dan jika tidak berdaya maju...maka tak boleh laksanakan dan mana-mana kontraktor yang tiada rekod prestasi yang cemerlang atau ambil untung atas angin akan ditamatkan kontrak.

“Atas langkah proaktif yang rancak dilakukan ketika ini, saya yakin semua 24 projek PR1MA sakit akan disempurnakan menjelang akhir tahun ini,“ katanya.