KOTA BHARU: Lapan individu telah selesai memberikan keterangan berhubung insiden pengibaran bendera Israel semasa program solidariti Gaza di Lembah Sireh pada 10 Oktober lalu.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata individu terbabit terdiri daripada penganjur, pelakon, pengiklan dan pencetak bendera berkenaan.
Beliau menegaskan walaupun tindakan itu dilakukan untuk tujuan lakonan, ia tetap satu kesalahan kerana melibatkan simbol sensitif.
“Walaupun kononnya dibuat untuk tujuan lakonan semula atau sketsa, ia tetap satu kesalahan kerana boleh mencetuskan kekeliruan dan isu sensitif dalam kalangan masyarakat,“ katanya.
Beliau menambah Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Polis tidak mahu rakyat tersalah faham dengan insiden tersebut.
Kertas siasatan berhubung perkara ini telah lengkap dan akan diserahkan kepada Pegawai Pendakwa Raya Negeri untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Putrajaya.
Bendera Israel itu tidak dibeli secara dalam talian sebaliknya dicetak sendiri oleh penganjur.
Polis telah merampas bendera berkenaan sebagai bahan bukti.
Pada 10 Oktober lalu, sebuah bot memasang beberapa bendera Israel melakukan lakonan semula insiden penahanan bot sukarelawan Global Sumud Flotilla.
Program anjuran Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia itu disertai hampir 10,000 peserta.
Peserta menaiki bot masing-masing dan berarak dari Kampung Pulau Pisang hingga Lembah Sireh sejauh lapan kilometer sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.
Sementara itu, polis akan menyiasat dakwaan pihak berkuasa Thailand mengenai kumpulan penjenayah rompakan kedai emas di Sungai Golok.
Mohd Yusoff berkata pihaknya belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Thailand berkaitan siasatan kes berkenaan.
“Setakat ini, tiada permintaan rasmi daripada mereka untuk kita bantu siasatan,“ jelasnya.
Dakwaan itu dibuat berdasarkan penemuan beberapa barangan di tepi sungai berhampiran sempadan Malaysia.
Polis tetap akan semak dan siasat kemungkinan suspek berada di Malaysia.
“Mereka sedia bekerjasama melalui saluran rasmi seperti Interpol atau mesyuarat dua hala keselamatan.
Pada 5 Oktober lepas, media melaporkan sepuluh lelaki bersenjatakan raifal jenis M16 dan AK104 merompak kedai emas.
Mereka melarikan barang kemas bernilai hampir RM3.11 juta dari sebuah pasar raya di Sungai Golok.
Kejadian pada 6.30 petang waktu tempatan Thailand itu berlaku ketika orang ramai sedang membeli-belah. – Bernama